Ahad, 4 November 2012

Ibu Menyusu Perlu Ambil Perhatian !!




Apabila ibu-ibu menyusukan bayi, perhatikan tanda-tanda penyusuan ibu yang berkesan seperti berikut:
  1. Tanda penghisapan yang berkesan
    1. hisapan perlahan dan dalam
    2. nada hisapan: hisap-telan-hisap-telan
    3. dengar bunyi bayi menelan
    4. hisapan cepat dan cetek
     
  2. Kekerapan penyusuan
    1. susukan bayi dengan kerap mengikut kemahuannya, “on-demand feeding
    2. sentiasa bersama bayi supaya boleh menyusukannya dengan kerap
    3. minggu pertama – susukan bayi lebih kerap
    4. bayi yang tidur lama (lebih daripada 2-3 jam) perlu digerakkan untuk disusukan
    5. menyusu kerap pada waktu malam
    6. purata penyusuan 8-12 kali dalam 24 jam
     
  3. Tanda bayi mendapat cukup susu
    1. bayi berhenti sendiri apabila kenyang
    2. penyusuan kerap 8-12 kali dalam 24 jam
    3. kencing lebih 6 kali dalam 24 jam
    4. kekerapan membuang air besar yang normal (4-8 kali dalam 24 jam)
    5. bayi kelihatan puas, ceria dan kulit bayi sihat
    6. payudara ibu penuh sebelum menyusu dan ‘ringan’ selepas menyusu
     
  4. Memberhentikan penyusuan
    1. biar bayi melepaskan puting payudara dengan spontan
    2. payudara kedua diberi selepas bayi selesai menghisap payudara pertama
    3. berikan kedua-dua payudara secara bergilir selagi bayi hendak terus menyusu
    4. jangan alihkan bayi dari payudara selagi dia sedang menyusu kecuali untuk membetulkan pelekapan
    5. untuk memberhentikan pelekapan bayi, masukkan jari kelingking ke tepi mulut bayi untuk mengeluarkan puting payudara dari mulutnya
Adaptasi daripada Booklet Penyusuan Susu Ibu, PPUM

Benarkah Susu Ibu Tidak Mencukupi?


Ada ibu yang berasakan bekalan susunya tidak cukup untuk bayinya. Perasaan begini selalu terjadi apabila ibu tidak dapat mengenal pasti keadaan bayinya. Ibu berperasaan begini di sebabkan oleh faktor berikut :

1. Ibu mendapati bayinya kerap menyusu. Keadaan ini menyebabkan ibu berasakan bekalan susunya tidak mencukupi. Sebenarnya keadaan ini menunjukkan bayi endapat bekalan susu yang mencukupi. Bayi juga berkeadaan begini kerana naluri hisapannya kuat. Susu ibu cepat dicerna. Ini menyebabkan bayi cepat lapar dan ingin menyusu dengan kerap. Bayi juga kerap menyusu kerana dia memerlukan belaian dan dakapan ibunya yang membuatkannya rasa selamat dan selesa. Belaian mesra dan mendengar degupan jantung ibu membuatkan bayi rasa tenteram di alam barunya. Keperluan begini tidak akan berlarutan selamanya kerana bayi akan membesar dan biasa dengan alam sekelilingnya. Oleh itu kekerapan bayi menyusukan tidak akan menyebabkan bekalan susu ibu tidak cukup.

2. Ibu sering membandingkan kekerapan menyusu dan berat bayinya dengan bayi yang lain. Ada ibu berpendapat berat badan bayinya yang kurang atau bayinya yang kecil serta tidak kerap menyusu disebabkan oleh bekalan susunya tidak mencukupi. Ibu tidak perlu bimbang jika keadaan bayinya sedemikian kerana saiz dan keperluan susu seorang bayi adalah berbeza. Tentukan sahaja bayi anda sentiasa sihat dan cergas.

Sebab Kurangnya Penghasilan Susu Ibu mungkin berpunca daripada :

1. Bayi tidak kerap menyusu. Kekerapan bayi menyusu menentukan penghasilan susu ibu. Semakin kerap bayi menyusu semakin banyak susu yang dihasilkan. Sebaik-baiknya ibu menyusukan bayi setiap 2 jam.
2. Ibu yang mengalami masalah sakit puting atau puting pendek selalunya menggunakan sarung puting (nipple shield). Penggunaan sarung puting menyebabkan lambatnya tindak balas atau rangsangan pengaliran susu setiap kali bayi menyusu.
3. Ada ibu yang menetapkan jadual menyusu bagi bayinya. Penetapan jadual menyusu ini juga menjejaskan penghasilan susu ibu.
4. Menyusukan bayi di sebelah payudara sahaja juga mengurangkan bekalan susu ibu. Oleh itu ibu perlu memberikan susu dari kedua-dua belah payudaranya kepada bayi supaya bekalan susu yang cukup dan berterusan dapat dihasilkan.
5. Kesihatan ibu juga penting dalam penghasilan susu. Terlalu letih dn terganggu juga akan menjejaskan tindak balas pengaliran susu ibu. Oleh itu ibu perlu memastikan mempunyai masa rehat yang cukup.
6. Pengambilan ubat-ubatan juga mempengaruhi penghasilan susu. Ubat-ubatan selalunya selamat untuk ibu yang menyusukan bayi. Walau bagaimanapun ada juga ubat-ubatan yang mengganggu penghasilan susu. Oleh itu jika ibu mendapat rawatan doktor, maklumkan kepada doktor bahawa anda sedang menyusukan anak. Ibu yang membuat IUD mungkin menghadapi masalah kekurangan susu kerana IUD mengandungi hormon yang menyebabkan susu berkurangan.
7. Kurang air boleh menjejaskan penghasilan susu. Ibu yang menyusukan anak perlu minum sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari. Amalkan minum air sebelum menyusukan bayi. Minum air yang tidak mengandungi banyak gula.
8. Makan makanan yang seimbang. Elakkan makan makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi. Ibu yang menyusukan anak mungkin selalu berasa lapar. Anda boleh kerap makan tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Makanan yang tidak seimbang boleh menyebabkan kekurangan susu ibu. Ibu terlalu berpantang semasa dalam tempoh berpantang selepas bersalin juga boleh menyebabkan kekurangan penghasilan susu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...