Rabu, 7 November 2012

Penyusuan secara Eksklusif

Takrifan Penyusuan Eksklusif - Bayi diberikan susu ibu sahaja tanpa makanan atau minuman lain(termasuk air masak). Penyusuan susu ibu sepenuhnya amat penting untuk tempoh 4 ke 6 bulan pertama kehidupan bayi.
Kenapa Penyusuan Eksklusif Penting? 1. Susu Ibu Memberi Perlindungan dari Penyakit kerana di dalam Susu Ibu mengandungi:
- "Bifidus Factor" yang dapat membantu pembiakan koloni Laktobacillus. Koloni ini bertindak sebagai pertahanan kepada serangan pembiakan E.Coli dalam usus.
- Lactoferrin bergabung dengan zat besi menyebabkan bakteria tidak mudah membiak
- Banyak agen anti-inflamatory membantu proses inflamatori yang tidak terkawal yang menyebabkan penyakit
- Lymphocite dan Macrophages yang membantu melawan penyakit
- Antibodi untuk melawan penyakit yang telah terdedah kepada ibu tersebut
- Hormon dan Growth Factor yang membantu pertumbuhan dan kematangan sistem immune bayi, perkembangan otak dan lain-lain
- Enzime lipase dan laktase yang membantu pembentukan sistem penghazaman bayi
2. Susu Ibu Memberi Perlindungan dari Alahan(Allergy) kerana
- Sistem usus bayi mudah terbentuk bila diberi susu ibu. Protein yang diterima oleh sistem bayi adalah protein manusia bukan protein asing.
- Pendedahan yang rendah terhadap protein asing menghasilkan toleransi dan bukannya kesan alahan (allergic)
- Zat seperti zink dan "long chain polyunsaturated fatty acid"  di dalam susu ibu membantu pembentukan sistem immune bayi
- Dengan memberi bayi sekali sahaja susu formula pada bayi di hari yang pertama boleh menggalakkan allergik. Semua susu formula termasuk susu soya boleh memberi risiko allergik seperti ruam, atopik, asthma, eczema dan lain-lain.

3. Pemberian Susu Ibu memberi banyak kebaikan kepada bayi seperti:
- Kadar SID(Cot death) yang rendah
- Kadar kencing manis (IDDM), Otitis Media yang rendah
- Respon pelalian yang lebih baik
- Kurang masalah gigi "Orthodontik"
- Perkembangan tumbesaran, emosi dan sosial yang lebih baik
- Kanak-kanak yang lebih pintar

* Pemberian bahan makanan atau minuman yang lain semasa tempoh 4-6 bulan pertama ini boleh mengurangkan kesan kebaikan yang disebut di atas kerana bahan-bahan asing tadi akan membersihkan perut bayi atau bertindakbalas secara tidak semulajadi di dalam perut dan usus bayi. Tambahan pula pengambilan bahan lain akan memenuhkan perut bayi (terlalu mengenyangkan) dan menyebabkan bayi tersebut tidak mahu menyusu secukupnya dari sumber susu ibu.
--Rujukan dari Kurikulum Panduan Pengurusan Laktasi dan Kursus 18 jam PPUM, KL







 1. Pastikan anda selesa (duduk / baring).
2. Pegang bayi rapat, keseluruhan badan bayi menghadap anda (perut bertemu perut).
3. Sentuh puting anda ke mulut bayi. Tunggu sehingga ia membuka mulut dengan luas seperti menguap, masukkan tampok hitam (aerola) ke mulut bayi.
4. Dagu bayi menyentuh payudara.
5. Kedengaran bunyi bayi menelan.

--Dipetik dari "Penyusuan Susu Ibu Pilihan Terbaik" (Risalah keluaran Hospital Kuala Lumpur)


 POLISI KEBANGSAAN PENYUSUAN SUSU IBU:-
 
Semua ibu digalakkan menyusukan anaknya dengan susu ibu sahaja selama 6 bulan dan meneruskan sehingga anaknya berumur 2 tahun. Makanan tambahan perlu dimulakan semasa anak berumur 6 bulan.
"Susu Ibu Pilihan Terbaik".



persediaan dalam pantang

PERSEDIAAN DIDALAM PANTANG

1. Semasa di dalam pantang, iaitu sesudah bersalin, berilah bayi minum susu ibu secara eksklusif. Pemberian susu yang kerap, mengikut permintaan bayi (biasanya lebih kurang setiap satu setengah jam ke dua jam sekali), akan meningkatkan pengeluaran susu.

2. Apabila pengeluaran susu sudah stabil lebih kurang 3 minggu sebelum keluar bekerja, berlatihlah memerah susu. (Anda mungkin telah pernah memerah susu sebelumnya terutama semasa payudara membengkak pada hari ketiga atau keempat sesudah bersalin). Waktu perahan yang sesuai adalah pada awal pagi atau pada bila-bila masa anda terasa pengeluaran susu agak berlebihan. 

3. Setiap perahan susu haruslah di label mengikut tarikh dan disimpan di dalam bahagian beku peti sejuk. Pada permulaan perahan anda mungkin mendapat susu yang amat sedikit. Janganlah bimbang kerana dari masa ke semasa anda akan dapat menambah jumlah perahan susu anda. Biasanya perkara ini terjadi kerana anda masih belum biasa dengan teknik perahan yang anda pilih dan anda mungkin berasa sedikit tertekan, tetapi lama kelamaan apabila anda telah biasa dengan teknik perahan, anda akan berasa lebih yakin dan tenang, dan seterusnya pengeluaran susu juga akan bertambah.

4. Tentukan siapakah yang akan menjaga bayi anda semasa keluar bekerja. Anda perlu melatih penjaga bayi anda itu dengan kaedah yang betul mengenai cara pemberian susu ibu kerana beliau akan menjadi kunci utama kejayaan pemberian susu ibu kepada bayi, semasa anda keluar bekerja. Jika anda bercadang untuk menghantar bayi ke Pusat Penjagaan Bayi, anda harus pastikan Pusat Penjagaan tersebut mampu untuk meneruskan rancangan pemberian susu ibu kepada bayi anda, jika tidak carilah pilihan yang lain.

Bagaimanakah Untuk memastikan penghasilan susu ibu mencukupi???


 1. Mulakan penyusuan awal dalam masa 1 jam selepas kelahiran.
2. Memberi penyusuan susu ibu dengan kerap 10 - 12 kali sehari dan bila-bila perlu (Demand feeding).
3. Tidak memberi bayi minuman lain selain susu ibu.
4. Tenangkan fikiran dan rehat secukupnya.
5. Makan makanan seimbang dan minum secukupnya mengikut keperluan.
6. Teruskan penyusuan di waktu malam untuk menggalakkan penghasilan susu yang banyak.
7. Menyusu dengan posisi dan pelekapan yang betul.
8. Pastikan tiada puting kosong / puting piring.
9. Makanan tambahan dimulakan pada umur 6 bulan.

--Dipetik dari "Penyusuan Susu Ibu Pilihan Terbaik" (Risalah keluaran Hospital Kuala Lumpur)
 
 PERSEDIAAN PENGASUH BAYI SEBELUM IBU KEMBALI BEKERJA


 1. Kira-kira 2 minggu sebelum anda keluar bekerja, anda bolehlah mula melatih bayi anda menerima susu perahan anda sedikit demi sedikit. Jadual latihan pemberian susu ibu ini perlu diubahsuai mengikut kesesuaian masa bekerja anda.

2. Andaikan anda keluar bekerja selama 10 jam (termasuk waktu perjalanan pergi dan balik ke/dari tempat kerja), bayi anda perlu diberi minum setiap 2-3 jam sekali. Oleh itu anda mungkin membahagikan jadual pemberian susu kepada 4 ke 5 blok waktu iaitu 4 atau 5 kali selama 10 jam.

3. Mulakan jadual dari rutin hari pertama latihan hingga hari ketiga dengan pemberian susu perahan sekali pada blok pertama dari jadual pemberian susu. Untuk blok waktu selebihnya berikan susu ibu terus dari payudara anda.


4. Pada hari keempat hingga keenam, berikan susu perahan untuk dua blok pertama dan blok selebihnya berikan susu anda secara terus kepada bayi.

5. Pada hari ketujuh hingga kesembilan, berikan pula untuk tiga blok pertama diikuti blok seterusnya dengan pemberian susu ibu secara terus.

6. Teruskan latihan hingga blok keempat pada hari kesepuluh hingga keduabelas. Sekiranya anda hanya melatih bayi untuk 4 blok waktu, bayi anda sekarang sepatutnya telahpun membiasakan diri dengan rutin susu perahan. Sekiranya anda mempunyai 5 blok, teruskan lagi latihan dari hari ketigabelas hingga hari kelimabelas. (Ini bermakna anda perlu bermula 15 hari sebelum keluar bekerja).

MASA YANG SESUAI UNTUK MEMERAH SUSU
 
Masa yang sesuai untuk memerah susu untuk ibu bekerja adalah : 

  • waktu rehat pagi: 10:00-10:30 pagi
  • waktu makan tengahari: 12:30-1:00tengahari
  • waktu rehat petang: 3:00-3:30 petang 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...