Isnin, 11 Februari 2013

TANDA-TANDA BAYI ANDA MENDAPAT SUSU YANG MENCUKUPI

Bagaimana saya akan tahu jika bayi saya mendapat susu yang cukup?

Dalam beberapa minggu pertama, anda mungkin tertanya-tanya jika bayi anda mendapat susu yang secukupnya, terutamanya jika dia mahu menyusu setiap masa atau ternampak tidak puas selepas menyusu. Apabila telah lepas satu atau dua hari pertama, bayi anda akan selalu berasa lapar. Dan kemungkinannya memang dia lapar, sebab susu badan selesai dicernakan dalam dua jam selepas dia menyusu.

Kebanyakan bayi baru lahir mahu menyusu lapan hingga 15 kali sehari pada tiga atau empat hari pertama kehidupannya. Ramai bayi yang masih menyusu 10-12 kali sehari selepas minggu pertama. Bayi akan terus menyusu begini sehingga satu minggu lagi sebelum mengurangkan penyusuan ke lapan hingga 10 kali sehari. Susukan bayi anda sekerap yang dia kehendaki. Anda dapati bahawa anda tidak boleh lagi melakukan kerja harian biasa dalam beberapa minggu pertama semasa menyempurnakan rutin menyusukan bayi.

Malangnya, menimbang berat badan bayi pada beberapa hari pertama tidak akan menyakinkan anda, sebab berat badan bayi baru lahir selalunya turun lima hingga 10 peratus daripada berat lahir mereka dalam minggu pertama atau seterusnya. Walau bagaimanapun, bayi anda sepatutnya menambah berat badan selepas itu, dan jika anda menimbangnya semula pada hari ke-10 hingga ke-14, anda akan mendapati berat badan bayi anda sudah pulih kepada berat lahirnya.

Terdapat beberapa cara untuk mengukur jika bayi anda menyusu secukupnya, dan terdapat juga tanda-tanda yang dia tidak menyusu secukupnya. Penyahidratan dalam bayi baru lahir jarang berlaku tetapi anda perlu mengetahui tanda-tanda bayi menyusu dengan sempurna supaya anda boleh menghubungi doktor anda jika terdapat sebarang keadaan yang tidak menyenangkan. Ini termasuklah:

• Bayi anda menyusu lapan hingga 10 kali sehari pada dua atau tiga minggu pertama.
• Buah dada anda sudah melepaskan susu sepenuhnya dan berasa lebih lembut selepas penyusuan.
• Kulit bayi anda berasa tegang – ia akan memantul semula apabila dicubit.
• Sepatutnya terdapat sekurang-kurangnya enam kali tukaran lampin basah dalam masa 24 jam. (Lebih mudah untuk mengetahui lampin biasa yang basah daripada lampin pakai buang yang basah.) Urin bayi anda akan berwarna jernih dan tidak berbau.
• Kelihatan bayi menelan semasa penyusuan.
• Najis bayi anda berwarna kuning gelap atau sering gelap, atau najis semakin berwarna cerah pada hari kelima selepas kelahiran.

Apakah tanda-tanda amaran bahawa bayi saya tidak mendapat susu secukupnya?

 

Tanda-tanda bahawa bayi anda tidak mendapat susu secukupnya selalunya termasuk perkara yang berikut:

• Bayi anda tidak mendapat balik berat lahirnya atau menambahkan berat badan selepas dua minggu.
• Payu dara anda tidak berasa lebih lembut selepas penyusuan.
• Bayi anda meragam atau sering letih.
• Pipi bayi anda lekung atau membuat bunyi berdecit semasa menyusu. (Ini adalah tanda yang bayi anda tidak menghisap dengan betul dan anda perlu mendapatkan nasihat pakar perunding penyusuan untuk memastikan anda menggunakan teknik yang betul.)
• Selepas hari kelima kelahiran, anda tidak menyalin lampin bayi anda sebanyak enam hingga lapan kali dalam masa 24 jam.
• Bayi anda tidak membuang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari atau najisnya masih berwarna gelap lima hari atau lebih selepas kelahiran.
• Bayi anda semakin berwarna kekuningan, bukannya semakin kurang, selepas minggu pertama.
• Muka bayi anda tidak berisi dalam masa tiga minggu.
• Kulit bayi anda tetap berkerut selepas minggu pertama.

Jika anda risau mengenai sebarang tanda-tanda berikut, hubungi doktor atau ahli pediatrik keluarga anda.

Anda akan tahu yang anda menyusukan bayi dengan secukupnya apabila:
• bayi anda melekap pada buah dada anda dengan baik dan menyusu apabila terasa lapar;
• penyusuan adalah selesa dan tidak menyakitkan;
• dan, bayi anda akan menukar ritmanya semasa menghisap dan berhenti seketika semasa penyusuan, mula menyusu tanpa berhenti dan melepaskan hisapan secara spontan apabila sudah kenyang.

Jika bayi anda menunjukkan tanda-tanda berikut, anda menyusukannya dengan secukupnya. Salah satu perkara yang paling sukar semasa memulakan penyusuan ialah merasa yakin bahawa anda menyusukan bayi anda secukupnya. Memang anda menyusu dengan betul, tetapi jangan teragak-agak untuk mendapat nasihat dan bantuan daripada ahli pediatrik, doktor keluarga atau perunding penyusuan semasa peringkat awal penyusuan.

MEWUJUDKAN TABIAT TIDUR YANG BAIK : 0-3 BULAN

Tidur yang tipikal pada usia ini

Bayi yang baru lahir akan banyak tidur – kira-kira 17 hingga 18 jam sehari pada beberapa minggu pertama dan 15 jam sehari menjelang bulan ketiga. Walau bagaimanapun, mereka tidur tidak lebih daripada tiga hingga empat jam pada satu-satu masa, sama ada pada waktu siang atau waktu malam. Ini bermakna: Anda tidak akan dapat tidur terus tanpa gangguan. Pada waktu malam pula, anda akan terpaksa bangun untuk menyusukan anak dan menukar lampin; pada waktu siang pula, anda juga akan bermain dengannya.

Ramai ibu bapa risau mengenai risiko kematian kot pada masa beberapa bulan pertama usia bayi. Apa yang disarankan ialah supaya semasa ia berusia enam bulan ke bawah, bayi tidur pada waktu malam di dalam kot yang terletak di sebelah katil ibu bapa. Saranan lain termasuklah:

• Letakkan bayi anda dalam keadaan telentang, bukannya meniarap atau disisinya.

• Letakkan dia dengan kakinya rapat dengan hujung kot supaya dia tidak dapat menggeliang-geliut mengelungsur masuk ke dalam selimut.

• Pastikan suhu bilik bayi anda adalah di sekitar 18 darjah C / 64 darjah F.

• Bagi kain-kain alas katil, gunakan cadar dan selimut yang berongga dan bukannya duvet.

• Periksa yang bayi anda tidak terlalu panas atau terlalu sejuk dengan merasa bahagian perutnya: jika dia terlalu panas, alihkan selimut; jika dia sejuk, selimutkannya. Jangan memeriksa di bahagian tangan atau kakinya sebab adalah normal bagi bahagian-bahagian itu berasa sejuk.

Rujuk artikel kami mengenai mengurangkan risiko kematian kot untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tidur yang selamat.

Walaupun sesetengah bayi tidur sepanjang malam seawal lapan minggu, kebanyakan bayi belum boleh melakukan sebegini sehingga mereka berusia lima atau enam bulan, atau lebih lewat dari itu. Jika anda mahu bayi anda tidur sepanjang malam, anda boleh membantunya dengan mengajarnya tabiat tidur yang baik seawal mungkin.

Bagaimanakah anda boleh mewujudkan tabiat tidur yang baik


Berikut adalah beberapa perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk membantu bayi anda tidur pada usia ini:

Belajar mengenal pasti tanda-tanda yang menunjukkan dia sudah letih
Semasa usia enam hingga lapan minggu, bayi anda tidak boleh berjaga lebih daripada dua jam pada satu-satu masa. Jika anda lewat menidurkannya, dia akan terasa terlalu letih dan tidak akan dapat lena dengan mudah. Lihatlah tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda sudah mengantuk. Adakah dia menggosok matanya, menarik telinganya atau menunjukkan lingkaran hitam di bawah matanya? Jika anda mengesan tanda-tanda ini atau tanda mengantuk yang lain, cuba letakkan dia ke dalam kot atau raga kendongnya. Lama-kelamaan anda akan memahami secara intuitif mengenai ritma dan pola harian bayi anda dan akan tahu bila masanya dia sudah bersedia untuk tidur.

Mula mengajarnya perbezaan di antara siang dan malam
Sesetengah bayi suka berjaga pada waktu malam (anda mungkin dapat petandanya semasa anda hamil dahulu) dan kadangkala bayi anda akan berjaga apabila anda baru sahaja lena. Hari-hari pertama selepas kelahiran, anda tidak akan dapat menangani ini. Tetapi apabila bayi anda berusia kira-kira dua minggu, anda sudah boleh mengajarnya membezakan malam daripada siang. Apabila dia giat dan berjaga pada waktu siang, bermainlah dengannya sekerap mungkin, pastikan rumah anda dan biliknya cerah dan terang, dan jangan risau mengenai kebisingan biasa seperti telefon, TV atau mesin basuh. Jika dia suka tidur semasa sedang menyusu, kejutkan dia. Pada waktu malam, cuba jangan bermain dengannya apabila anda masuk ke biliknya untuk menyusukannya. Pastikan cahaya dalam rumah dan bunyi-bunyi bising di tahap minima, dan jangan terlalu banyak bercakap dengannya. Tidak lama lagi, dia akan tahu bahawa waktu malam ialah waktu untuk tidur.

Berikan dia peluang untuk tidur dengan sendiri
Apabila dia berusia enam hingga lapan minggu, anda boleh cuba memberi peluang kepada bayi anda untuk tidur dengan sendiri. Cara terbaik melakukannya ialah dengan meletakkannya di katil semasa dia sedang mengantuk, tetapi masih berjaga.

Bagaimana anda menidurkan bayi anda adalah penting. Anda mungkin merasakan bahawa apa yang anda lakukan semasa hari-hari permulaan itu tidak mempunyai kesan yang berpanjangan, tetapi sebenarnya ada. Bayi sedang belajar bagaimana untuk tidur. Jika anda dodoikan bayi anda untuk tidur setiap malam pada lapan minggu permulaan, dia akan mahu didodoi setiap kali. Inilah sebabnya sesetengah pakar tidak menyokong anda mendodoi atau menyusukan bayi anda untuk tidur, walaupun dia masih di usia yang muda. Untuk mewujudkan cara tidur bayi yang mantap, anda perlu menggunakan strategi yang sama setiap malam.

Kesulitan yang mungkin timbul

Tidak banyak perkara yang boleh menganggu gaya tidur bayi yang masih kecil. Tetapi apabila anak anda berusia dua atau tiga bulan, dia mungkin akan:

• terjaga pada waktu malam dengan lebih kerap daripada yang sepatutnya;

• mengaitkan perkara tertentu dengan aktiviti tidur yang berkemungkinan akan membawa masalah kepada anda nanti.

Bayi yang baru lahir perlu bangun pada waktu malam supaya mereka dapat menyusu tetapi sesetengahnya akan terkejut dari tidur sebelum mereka perlu menyusu. Kadang-kala kehadiran anda berhampirannya akan menenangkannya dan dia akan kembali tidur.

Untuk mengelakkan bayi mengaitkan (membuat asosiasi) perkara tertentu dengan tidurnya di mana bayi bergantung kepada sesuatu seperti dodoian atau penyusuan untuk lena, letakkan saja bayi anda di katil sebelum dia tidur dan biarkan dia lena dengan sendirinya.

Penyelesaian masalah tidur

Anda perlu mengajar bayi anda sedikit demi sedikit bagaimana untuk tidur sepanjang malam. Para pakar tidak sependapat mengenai cara terbaik untuk melakukannya dan terdapat pelbagai falsafah yang bercanggah. Beberapa cara penyelesaian utama digariskan di bawah.

Penyelesaian 1
Bayi anda boleh dilatih untuk memperolehi tabiat tidur yang baik seawal usia enam minggu. Caranya ialah mewujudkan rutin tidur malam dan tidur siang yang konsisten dan meletakkan bayi di atas katilnya semasa dia masih berjaga. Selagi anak anda boleh tidur dengan sendiri, anda boleh melayan panggilannya pada waktu tengah malam atau semasa tidur di siang hari. Gantikan sebarang asosiasi tidur yang bergantung kepada kehadiran anda (apa saja yang memerlukan anda berada di situ seperti dodoian atau penyusuan) dengan barang lain yang akan berada di situ semasa bayi anda terjaga (seperti selimut kegemarannya).

Penyelesaian 2
Anda mahu melakukan yang terbaik untuk anak anda dan membantunya membentuk tabiat tidur yang baik merupakan sebahagian daripadanya. Anak anda belum faham lagi mengenai apa yang terbaik untuknya dan akan menangis jika dia tidak mendapat apa yang dia mahukan. Matlamat anda ialah membantunya tidur dan belajar tidur dengan sendiri.

Penyelesaian 3
Latihkanlah bayi anda untuk tidur dengan sendiri serta dapat menenangkan dirinya sendiri apabila dia terjaga. Anda boleh membantunya membezakan antara malam dan siang dari mula dengan mengadakan penyusuan malam dalam keadaan senyap dan tenang, manakala di waktu siang, mengejutkannya jika dia tidur terlalu lewat. Lama-kelamaan dia akan belajar untuk menyimpan tidur panjangnya untuk waktu malam. Jika dia terjaga, gunakan suara anda untuk menenangkannya tetapi lebihkan tempoh masa antara jarak waktu anda mendekatinya. Ini akan membantunya belajar tidur dengan sendiri.

Penyelesaian 4
Bantu bayi anda untuk relaks dan biar dia tahu bagaimana menenangkan dirinya sendiri. Jangan biarkan dia "meluahkan tangisannya," tetapi jangan pula terus pergi kepadanya apabila dia mula merengek. Tunggulah beberapa minit dan pastikan dia benar-benar terganggu dan terjaga, barulah masuk ke biliknya, meyakinkannya dan menenangkannya tanpa mengangkatnya keluar dari kot atau raganya. Sebaliknya, usap dan tenangkannya dengan menggunakan tangan anda dan bercakaplah dengannya. Pada mulanya, pergi kepadanya setiap beberapa minit, tetapi lama-kelamaan panggilkan namanya saja dari luar bilik. Adalah satu idea yang baik untuk mewujudkan rutin waktu tidur yang tenang dan menyokong yang meliputi cerita pengantar tidur, mandian dan lain-lain.

Penyelesaian 5
Bina sikap tidur yang positif dalam anak anda dengan sentiasa menyokongnya selain memberikannya persekitaran yang tenang dan relaks yang akan membuat dia mengantuk. Dia akan belajar menganggap tidur sebagai sesuatu yang menyeronokkan, dan bukan sesuatu yang ditakuti.

Tidak terdapat cara yang "betul" untuk menggalakkan anak anda tidur sepanjang malam. Anda perlu memilih penyelesaian yang sesuai bagi anda dan keluarga anda.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...